Entah macamana saya mahu mulakan cerita cinta ini. Banyak hari juga saya berfikir, mahu memulakan satu perjalanan cerita cinta. Tipikal cerita cinta.
Selalunyalah, ada babak pelajar kolej berlanggar bahu, buku bersepah di lantai, kutip buku, tersentuh tangan dan bertentang mata. Kemudian jatuh cinta. Haha. Saya tersenyum sendiri saat memikir permulaan cerita semacam itu.
Travellog cinta.
Dianya sebuah cerita hal perjalanan cinta. Banyak cerita begini. Dari dulu. Dari sejarah kejadian manusia. Tatkala Adam dan Hawa tercampak ke bumi. Tatkala sumpah iblis mahu menghancurkan anak Adam di bumi.
Agungnya cerita perjalanan cinta Adam mencari Hawa di muka bumi yang luas dari barat ke timur, utara ke selatan.
Perjalanan cinta seagung itu tidak selayaknya untuk saya mencubanya. Di sekeliling saya iblis yang berpegang pada sumpahnya pada tuhan untuk menghancurkan anak Adam, dan saya anak Adam itu.
Cinta. Sehebat namanya, dan dengan mudah iblis memperguna perasaan itu. Perasaan cinta dan kasih sayang yang hebat itu menjadi senjata ampuh buat iblis menghancurkan anak Adam.
Hebat. Ya. Saya rasakannya. Semoga saya mampu meneruskan perjalanan cerita mencari cinta ini. Sehingga hati kembali.
No comments:
Post a Comment