Sebenarnya saya tidak bercadang
sangat pun nak menulis perkara-perkara yang serius. Tapi, bila saya fikir semula dengan berfikir cara realistik, perkara
ini serius. Mungkin realistik pada kepala otak saya yang belajar tamat
tingkatan 5 sekolah menengah kebangsaan, mungkin tidak realistik pada kepala otak pakar,
professor atau ahli bahasa. Saya peduli apa? Ini tulisan saya.
Antara tahun 2010 – 2011 menyaksikan
peningkatan mendadak pengguna internet di negara kita. Tanpa merujuk kepada
mana-mana statistik, kita sendiri dapat lihat percambahan pengguna internet
ini. Mungkin sedikit pengaruh laman sosial facebook, tapi kita tak boleh menidakkan
faktor trend penulisan blog di kalangan anak muda serta pengamal politik.
Blog. Ya, blog secara tiba-tiba adalah suatu perkara yang boleh menjadi hal berborak di kantin sekolah, padang
futsal, pameran buku, kedai tudung, atau bengkel basikal resing sepertinya kita
berborak hal-hal motor kena curi, makwe baru masuk kelas sastera itu cun, youjizz kena block, karipap dekat kantin itu intinya cuma tiga potong kentang dan fakku isu Naruto dengan Hinata.
Bila sesuatu itu sudah jadi
begitu hot, er… lupakan sekejap tentang MySpace, FriendSter, mIRC, atau YM, maka
ramailah pengguna dan pengamalnya.
Bagaikan trend sub-budaya di
kalangan anak muda yang telah melanda Malaysia sekitar tahun 2000, seorang anak
muda akan dilihat sangat-sangat anak mama, budak surau, dan ahli kelab kaunseling
jika tidak skinhead. Seorang remaja yang sudah akil baligh akan kelihatan begitu tabligh dan
menjadikan kismis sebagai makanan ruji jika tidak punk. Seorang pelajar sekolah tingkatan 4 kelas sains akan kelihatan sangat Bulan Sabit Merah sekiranya tidak Skaters dan mendengar lagu Limp Bizkit di
telefon bimbit N-Gage. Sekadar merujuk beberapa contoh.
Begitulah trend blog yang mana secara
tiba-tiba menjadi sesuatu yang perlu untuk seorang anak muda kelihatan cool dan…
Er… Rujuk contoh di atas.
Bak kata pepatah orang muda, lubuk banyak udang ada
buaya, tempat banyak orang pun ada buaya. Eh.
Bila sudah ramai-ramai begitu
makanya macam-macam karenahlah pengamal blog ini untuk kelihatan tercool, teraneh,
terunik dan terpower dikalangan mereka.
Bila sudah ramai-ramai begitu makanya banyaklah
tujuan pengamal blog ini untuk meyakinkan pembaca akan kebenaran dan keheroan
hasil masing-masing di kalangan mereka.
Bila sudah ramai-ramai begitu
makanya, wujudlah… Ah, pandai-pandai fikir sendirilah. Benda kecil sebegini pun
takkanlah mahu budak lulusan SPM paras hidung kena fikir? Kan? Kan?
Ada yang mahu jadi pendakwah,
penyindir, pelawak, politikus, pengkritik, penulis, penaip, peMLM dan…. ah,
banyak lagilah mahu jadinya di kalangan ahli-ahli blog ini.
Bila sudah banyak-banyak begini
makanya akan wujud pula jenis yang ahli-ahli lain tak suka. Contoh mudahnya,
kalau makan air batu campur, mesti ada bahan yang kita tak suka, kacang merah
ke, sagu ke, cendol ke, susu cair ke.
Setelah panjang benar melalut tak
tentu hala, maka molek juga kiranya saya terus sahaja menuliskan hal tajuk
besar, Antara Blog, Sekolah Kebangsaan, dan Bahasa Melayu.
Sebagai ahli blog, dan saya juga
diantaranya, nak tak nak, saya, kamu, kamu dan kamu sebagai ahli blog secara
langsung atau tidak langsung terlibat dan telah menjadi salah seorang pengguna
bahasa. Sekadar mengagak, saya percaya 80% dan lebih ahli blog ini menjadikan
Bahasa Melayu sebagai bahasa perantaraan di blog masing-masing.
Tak tahulah pula kalau ada pelajar perempuan tingkatan 4 kelas akaun yang menulis blog hal-hal formula Matematik Tambahan. Itu terkecuali, pasal matematik bukan bahasa. Matematik itu
kira-kira dan orang yang terlalu bodoh dan kuat mengampu sahaja kata Matematik
itu lingua franca nya adalah bahasa inggeris.
Jadi, sebagai salah seorang yang
telah menjadi ahli Bahasa Melayu, yakni bahasa rasmi negara Malaysia dan bahasa
yang menjadi kebanggaan bangsa Melayu, maka menjadi tanggungjawab kita penulis
yang menggunakan bahasa ini untuk memartabatkannya, atau kalau dah bebal sangat guna Bahasa Melayu tu cubalah menghormatinya.
“Bahasa Melayu pernah menjadi lingua franca (di sinilah penggunaan sebenarnya perkataan ini) di kalangan para pedagang asing yang berurusan di Melaka dan kepulauan nusantara. – Buku teks sejarah tingkatan empat.”
Dari pemerhatian dan berjalan blog, saya mengagak ramai pengamal blog adalah di kalangan pelajar sekolah menengah,
pelajar kolej swasta, pelajar universiti awam, pelajar universiti luar negara,
dan segelintir orang dewasa yang suka mencarut dan menyumpah sesama sendiri. Lupakan sebentar blog gey, cerdes dan
download 3gp.
Wah, ini sudah bagus! Ramai ahli blog rupanya
adalah dikalangan anak muda yang sedang belajar dan sangat dekat dengan bahasa.
Rasanya tak ada masalah langsung untuk ingat ejaan, tanda baca dan tatabahasa Bahasa
Melayu. Kalau sudah benak sangat, takkan tidak boleh semak buku latihan.
Kan?
Kan adik-adik gadis tingkatan empat kan? Ala comelnya gambo pakwe bergambo dalam kelas ramai-ramai tu…
Kan awak-awak makwe kolej misi kan? Ulololo, romantiknya gambo rapat-rapat pipi dengan pakwe tu…
Ya, bukan susah sangat Bahasa Melayu ini. Tiap
masa kita guna. Tiap tempat. Kita bertutur dalam Bahasa Melayu. Kebanyakan dari
kita lahir dalam keluarga dan bangsa yang menjadikan Bahasa Melayu sebagai
bahasa pertuturan. Jadi apa yang susahnya? Bangla pam minyak tiga bulan sahaja tinggal di Malaysia, belajar Bahasa Melayu dan bertutur. Saya tunjukkan contoh ayat di bawah.
Pagi tadi gua pergi sekolah. Gua pergi sekolah naik kereta
ayah gua hantar. Ayah gua hari-hari hantar gua pergi sekolah, sampai ngam-ngam depan gate sekolah dia hantar. Peh, gua memang manja.
tdY monynk wa pgY skolah. Wa pgY skolah ary2 ayah
anta. Ayah wa ary2 anta wa pgY skullah sampY ngam soi dEpaN gaTe
skullah.
Nampak perbezaannya? Nampak?
Ayat mana yang lagi senang nak taip?
Atas ke bawah?
Habis.
1 comment:
saya masih belajar dalam berblog ;)
eid mubarak!
Post a Comment