Tuesday, July 31, 2012

Travellog Cinta : Kamu, nafas saya.

Satu petang, saya diam memikirkan sesuatu. Namun tidaklah sesuatu itu mengganggu fikiran saya. Cuma rasa mungkin. Entahlah.

Sukar juga ingin bertikai dengan diri sendiri.

Saya diam, di bawah pohon rendang berbatang besar di tepi rumah menghadap paya yang luas. Cantik pemandangannya.

Saya berbisik pada seorang lagi saya, alter ego mungkin. Alter ego yang wujud oleh rasa cinta saya.

"Kau agak keterlaluan mencintai dia," kata saya, seorang pemuda kampung yang biasa-biasa.

"Kenapa?" tanya saya, sang pecinta itu.

"Kau katakan dia nafas kau,"

"Benar." Ah, sudah namanya alter ego. Mestilah tak mahu kalah jika bertikai.

"Kau rasa dia layak menjadi nafas kau? Ya, kau yang tak layak," sang pecinta itu senyum. Ah, saya yang mencipta dia. Masakan saya mahu mengalah dengan dia.

"Jadi, tanpa dia kau tak mampu hidup?" tanya saya lagi pada sang pecinta yang perasan dirinya pecinta agung itu.

"Benar kata kau," jawabnya dengan nada angkuh. Saya diam.

"Hei, kau dan aku masih punya tuhan yang memberi nafas," kata saya mahu mematikan hujahnya dengan sedikit hujah keagamaan. Mungkin mampu buat dia diam.

"Kau lahir atas dasar apa? Aku, kau cipta atas rasa kau sendiri. Tanpa aku, kau pernah mati bukan?" si pencinta itu menjawab kata saya dengan penuh angkuh.

Lalu saya diam. Kata sang pecinta itu, yakni saya yang dipenuhi rasa cinta pada seorang manusia hampir saya benarkan. Namun diam saya itu menyembunyikan dia, sang pecinta agung di satu sudut terpencil dalam tubuh saya.

Mungkin, saya agak angkuh untuk tidak bersetuju dengan diri sendiri.

1 comment:

WanNor said...

rasa angkuh itu kerana keikhlasan kepada pencinta agung diletakkan di belakang pintu mata hati. Pecinta agung boleh tidak diletak di sudut hati jika dipakaikan dengan baju rasional : bahawa setiap sesuatu yang berlaku bukan kerana nasib melainkan mahu menjelmakan apa yang telah dituliskan sebagai 'bahagian' kita