Pagi
itu semuanya tenang sahaja. Saya bangun pagi dan mandi. Mandi itu sedikit
mendinginkan hangat semangat saya pada malam tadinya, iaitu sebelum pagi 428
yang telah terdiang oleh video-video occupy dataran di youtube oleh anak-anak
universiti menuntut pendidikan percuma. Usai saya menonton jam lebih kurang 5
pagi, ayah saya sudah bangun menyiapkan kedai untuk dibuka pagi, saya ke bilik
merehatkan mata. Saya mahu bangun pagi dan pagi itu semuanya tenang sahaja.
Saya melakukannya
seperti biasa, mandi, makan, merokok, dan berak dengan tenang. Melihat ayah
saya menyediakan kereta untuk perjalanan ke Kualu Lumpur sebentar lagi,
semangat saya sedikit terdiang. Ya, ayah seperti unggun buat saya, seperti yang
diukir A. Samad Said dalam puisi Unggun Bersih pada Bersih 2.0.
Menanti
beberapa rakan lagi untuk bersama dalam satu kereta sebatang demi sebatang
rokok dicucuh. Kemudian update blog. Kemudian cas bateri telefon. Kemudian
membaca status di facebook. Kemudian rakan yang ditunggu tiba.
Semuanya
bergerak dengan biasa dan tenang. Saya teringatkan pesan-pesan dibanyak blog
serta catatan di facebook tentang perkara-perkara yang perlu dan tidak perlu
untuk perhimpunan ini. Kemudian saya fikir, “Ah, ianya perhimpunan aman dan kami
mahu duduk sahaja dengan aman.” Lalu saya abaikan ingatan yang muncul tadi.
Tiada lagi garam, tuala, air atau sedikit makanan ringan, yang ada cuma
semangat, rakan dan sehelai pakaian kerana bimbangkan hujan.
Kami
mulakan perjalanan dengan tenang dan gembira.
***
Di LRT
Masjid Jamek, dari atas itu saya dengar laungan. Hati tiba-tiba berkata, “oh,
ianya sudah bermula.” Jam baru 11.00pagi. Orang sudah memenuhi jalanan di
sekitar kawasan Masjid Jamek. Penuh. Bukan sekadar memenuhi ruang kaki lima pejalan
kaki, namun di atas jalan raya. Saya teruja dan teringatkan “amaran tukartiub
500000”.
Orang
ramai, pekikan, laungan, kuning, hijau, kad, baner dan semangat memenuhi Kuala
Lumpur. Lagi, sampah. Malaysia ini sebuah negara dunia ketiga yang baru belajar
untuk membangun. Mentaliti masyarakatnya masih tidak sebersih Bersih ini
mungkin. Abaikan perkara itu, Malaysia tidak terbandingkan Jepun atau Singapura
atau Brunei dari segi mentaliti masyarakatnya. Abaikan sehingga masyarakatnya
menambah baik mentaliti tentang perkara kebersihan ini. Kelihatan pada
awal-awal lagi perhimpunan ini sudah gagal. Tapi saya cekalkan hati.
Bersama-sama
dalam lautan manusia, maju ke depan, dan berundur seperti ombak. Oh,
metaforanya seperti kurang sesuai. Harus saya tukarkan, seperti dalam tasik
buatan manusia manusia memenuhi segenap ruang empangan, penuh, dan terus
memenuhi kerana empangan itu tiada jalan untuk keluar ke ruang yang lebih luas
yakni Dataran Merdeka. Manusia terus penuh, dan penuh. Seperti terlalu
hiperbola perumpamaan saya ini. Tapi itulah hakikatnya.
Kemudian
manusia yang terempang dalam empangan ini terus bertambah. Seperti air hujan
yang menurunkan bah. Ini bah manusia. Empang pihak keselamatan kelihatan begitu
rapuh dan semakin kecil. Saya berada di barisan hadapan. Lapisan kedua, dari
Jalan Masjid Jamek, di benteng dan kawad duri keselamatan yang menjaga ruangan
milik rakyat itu. Kemudian hujan manusia terus menerus mengalir, empangan itu
tidak lagi ampuh menahan kuasa manusia yang kian bertambah.
Jerit
saya dalam jerit pekik ramai orang, “Maju... maju”
Kemudian
benteng itu leper. Bersih mula melimpah ke kawasan dataran. Kemudian bas merah
itu menyembur air.
Kemudian.
Segalanya tercatat di facebook, blog, dan youtube. Saya percaya ramai peserta
berada dalam situasa yang sama dengan saya. Garam. Air. Pedih mata. Air mata.
Sukar bernafas. Mahu pitam. Letih. Haus. Bersemangat. Bom asap. Air gatal.
Kelembutan pihak keselamatan. Kemudian segalanya tidak terkawal lagi.
Satu
yang saya ingat, saya ada memeluk seorang anak kecil perempuan dengan ibunya
yang terjatuh di kaki lima dirempuh orang ramai. Saya turut dirempuh. Kemudian
saya berlalu kerana ditolak si ibu atau entah siapa. Saya tadah tangan meminta
garam. Ada seorang lelaki meminta garam daripada saya tapi saya menggelengkan
kepala. Saya tiada garam. Ini perhimpunan aman
dan saya mahu duduk di Dataran Merdeka dan saya tak perlukan garam pada
mulanya.
Kemudian
seorang lelaki mencurah garam di atas telapak tangan saya, kemudian saya
berjalan perlahan menghulur garam kepada orang ramai di sekeliling. Saya dapat
rasakan perpaduan manusia ketika itu. Tanpa rasa jijik, berpuluh orang berbagai
kaum berkongsi mencubit garam di atas telapak tangan saya. Kemudian klimaksnya
garam yang tinggal sedikit-sedikit di tangan saya masih hulurkan, tiba-tiba
pergelangan tangan saya disentak. Seorang lelaki cina memegang pergelangan
tangan saya dan menjilat sisa garam di telapak tangan itu. Kemudian dia berlalu
meninggalkan saya entah kemana. Lelaki cina itu mungkin tidak sedar dia telah tertinggal
sesuatu pada saya dan saya akan simpan untuk generasi hadapan yakni PERPADUAN.
Mungkin,
Bersih ini tidak sebersih pada fikiran saya pada awal-awal tadi tapi ada
sesuatu juga dapat dibawa pulang dari perhimpunan ini. Ya, hakikatnya Bersih
ini penuh dengan sampah sarap dan darah. Namun saya bawa pulang cerita PERPADUAN
dan akan saya tinggalkan pula buat generasi terkehadapan.
No comments:
Post a Comment