"Zikir," Zikir menoleh ke arah suara. Tiada siapa yang memanggil.
Cis… getus hati Zikir. Astaghfirullah.. secara halus datang dalam minda Zikir.
"Zikir," Zikir toleh sekali lagi. Juga masih belum ketemu punca suara tersebut.
Ah, mungkin suara dibawa angin lalu. Getus hati kecil Zikir.
Sebetulnya dia rindu. Rindu dengan Cinta. Cinta yang entah kemana. Hilang tanpa kesan.
Aku mahu mencari Cinta, sebelum 10 hari ini. Sebelum aku dijemput pulang.
Zikir berlari-lari anak mencari Cinta. Dibeleknya segala apa yang dihadapannya. Akar pokok. Bawah pasu bunga. Di balik daun kering. Di celah-celah rumput. Masih tiada ketemu Cinta.
Mana mungkin Cinta hilang begitu sahaja, hati kecil Zikir memujuk.
Hari pertama.
"Cinta!!!" Laung Zikir dari atas Bukit Angin Putus. Dia mahu suaranya dibawa angin, akan hinggap di telinga Cinta. Lalu Cinta akan tersentak bila terdengar suara Zikir yang dibawa angin.
"Cinta!!!" Laung Zikir sekali lagi. Fikirnya, mungkin suara pertama tadi hilang ke utara. Lalu kali ini dia bertempik kearah selatan.
"Cinta!!!" Laung Zikir sekali lagi kearah Timur pula.
"Cinta!!!" Laung Zikir, untuk kali terakhir kearah barat.
Kan kunyanyikan kau lagu cinta,
seindahnya sinar mentari,
seanggunnya sinar rembulan….
Lagu Flop Poppy bermain-main di telinga Zikir.
Zikir termenung sendiri, mampukah aku mencari Cinta yang entah dimana.
Hari kedua.
Zikir mencari Cinta di sebuah kompleks beli-belah yang besar di ibu kota.
Zikir ke bahagian pakaian. Membelek-belek pakaian yang di jual. Mungkin Cinta ada disitu.
Baju Merah. Baju Putih. Baju Hitam. Baju Hijau.
Namun Cinta tiada. Cinta entah di mana.
Cinta. Cinta. Cinta.
Zikir. Seorang insan malang yang kehilangan jiwanya yang bernama Cinta. Dia rindu Cinta. Walau sekeras mana pun hatinya, tetap lembut dibasahi CInta.
Zikir, Cinta baginya salah satu pelengkap hidupnya.
Mungkinkah dia ketemu Cintanya yang hilang.
Cintaku, hampir setiap kalinya,
Tak jemu-jemu…
Cintaku, kunyanyikan lagu ini…
Penawar rindu…
Lagu Floppy singgah diminda Zikir sekali lagi.
Hari ketiga.
Di sebuah tempat perkelahan. Kawasan air terjun. Mungkin Cinta disitu mahu menenangkan fikiran yang kusut.
Damai. Tenang. Dingin. Zikir duduk di atas sebuah batu di tengah-tengah anak sungai. Air jernih mengalir. Zikir sentuh sedikit air sungai dengan hujung jari kakinya. Dingin.
Beberapa ketika begitu, fikirannya menerawang. Hilang sejenak Cinta yang setiap saat diingatinya.
Cinta, dimanakah kamu.
Zikir hilang punca mencari arah tuju Cinta yang hilang.
Hilang tanpa jejak.
Tanpa kesan.
Entah dimana.
C.I.N.T.A. Satu-satu huruf yang membina nama Cinta singgah dimata Zikir. Terbina dari cahaya yang menyelinap di celah-celah dedaun pokok.
Hari keempat.
Zikir diam di serambi rumah. Memikirkan dimanakah lagi tempat yang patut dituju untuk mencari Cinta yang hilang.
Zikir membelek akhbar kompak no 1 di pasaran.
Ya. Mungkin dia boleh iklankan di akhbar tentang kehilangan Cinta. Mungkin orang-orang yang membaca tentang kehilangan Cinta, bertemu dengan Cinta lalu menghubunginya.
Ah. Mana mungkin orang biasa boleh bertemu Cinta. Dia bukan biasa. Cinta bukan makhluk. Cinta bukan sesiapa. Cinta cuma untuk dirinya.
Zikir mengangguk sendiri, membenarkan kata hatinya yang berbisik perlahan.
Hari kelima.
Zikir termenung di ruang tamu rumah.
"Kau mencari apa sayang," Zikir sekadar membalas tanya itu dengan senyuman. Kemudian menggeleng kepala.
"Apakata kau beritahu aku, mungkin aku boleh membantumu mencari," juga Zikir balas dengan senyuman.
"Hm…" keluh empunya suara yang mahu membantu.
Ah. Mana mungkin kamu dapat membantu aku. Cinta hanya untuk aku. Hanya aku yang layak bertemu Cinta, getus hati kecil Zikir.
"Sudah banyak hari aku melihat kamu seperti mencari sesuatu, apa yang kau cari," Zikir diam tidak menjawab soalan. Tidak senyum. Tidak juga menggeleng.
Ah, pedulikan aku. Kau tidak layak mencari Cinta. Cinta milik aku. Hanya aku yang mampu mencari CInta.
Zikir bangun dari duduknya. Dia berpaling, dan bersemuka dengan empunya suara. Seekor makhluk hodoh bermuka kedut dengan sebatang tanduk di dahinya.
"Ah, syaitan!!!" Zikir mencapai sesuatu di dinding rumah. Senjata peninggalan arwah datuknya.
Zap.. Dengan sekali libas, kepala Si Syaitan yang mengganggu terkulai. Tubuh syaitan hijau terkaku seketika, dan kemudian rebah.
Zikir memegang kepala yang hampir putus dilibas senjata peninggalan arwah datuknya.
Haha. Syaitan mana yang mahu mengganggu aku mencari Cinta. Akan aku pancung kepalanya.
***
Cinta.
Dari mana asalnya? Dia sejenis perasaan yang wujud dalam diri manusia, serta makhluk Allah S.W.T yang lain sejak azali. Mungkin wujud bersama nyawa yang ditiup ke jasad di dalam rahim seorang ibu.
Mungkin. Aku sendiri tidak pasti. Pastinya, cinta itu perasaan atau mungkin panggilan untuk seseorang yang terlalu di sayangi.
Kita wujud kerana cinta. Mungkin.
Kadangkala kita wujud kerana nafsu. Kadangkala.
Pastinya, kita wujud kerana dijadikan Allah S.W.T sebagai khalifah di muka bumi ini. Tak kira kerana cinta atau nafsu. Tuhan Yang Maha ESA mahukan kita hidup sebentar menjadi hambanya.
Cinta, wujud bersama kita sepanjang hayat untuk menemani kita, menjadi khalifah di bumi Allah S. W.T dan menjadi hamba kepadaNya.
***
Hari keenam.
"Zikir," perlahan suara memanggil namanya. Zikir terkedu. Adakah itu cinta. Cinta yang mengirim suaranya melalui angin.
Zikir berpaling. Berdiri di belakangnya seorang gadis cantik. Mungkin agak keterlaluan mengatakan dia secantik bidadari syurga, namun gadis itu sungguh cantik. Jika ditanya kepada sahabat Zikir yang bernama Johari, nescaya perkataan cantik itu secara spontan keluar dari mulut Johari. Begitulah mahu diterangkan betapa cantiknya si gadis yang menegur Zikir.
Zikir terkedu. Sepanjang riwayat hidupnya, tidak pernah dia bertemu gadis secantik itu.
"Kau masih mencari Cinta," Zikir mengangguk kepalanya sedikit.
Wajah gadis cantik itu sedikit berubah.
"Buat apa yang mencari yang sudah tiada?" getus si gadis. Nada suaranya mempamerkan kegeraman si gadis cantik.
"Aku…,"
"Kenapa?" Begitu keras suara si gadis hingga memperlihatkan urat-urat hijau di lehernya.
"Bodoh, bagilah aku jawab dulu," kata Zikir perlahan.
Si gadis terdiam. Betul juga kata Zikir itu.
"Aku… Aku cuma mahukan Cinta," Zikir menunduk kepala.
Si gadis merapati Zikir. Bibir munggil si gadis, menghampiri telinga Zikir. Hampir, begitu hampir. Hinggakan nafasnya menyentuh cuping telinga Zikir.
Zikir masih menunduk kepala mempertahan posisinya sebagai seorang lelaki yang punya prinsip hidup.
"Aku ada Zikir, aku boleh membahagiakan kamu hingga hujung nyawa," bisik si gadis perlahan di telinga Zikir. Jantung Zikir berdegup kencang. Seketika, Cinta hilang dari hidup Zikir.
"Aku…"
"Kau mencari yang tiada," si gadis memotong kata Zikir.
Perlahan si gadis menghulur tangan kanannya, merangkul tubuh Zikir dari belakang.
Dada Zikir berdegup kencang. Nafas Zikir tidak lagi teratur.
Astaghfirullahalazim… Hati Zikir berkata perlahan. Sejenak itu juga si gadis cantik terus hilang. Lenyap. Seperti dibawa angin lalu.
Zikir tersentak dari lamunannya yang agak panjang.
Cinta! Sejenak itu juga, Cinta kembali kepadanya.
Hari ketujuh
"Hentikanlah Zikir," kata seorang rakan, sambil mulutnya menghembus asap rokok kemuka Zikir. ZIkir mengibas perlahan asap rokok yang melemaskannya.
"Kenapa?" sambil bertanya, sambil dahi Zikir berkerut memberikan ekspresi yang dia sedang kehairanan.
"Kau cari sesuatu yang bukan nyata," ujar rakan Zikir serius. Di tangan kirinya, secawan air Teh O dihalakan ke bibir.
"Hm…" Zikir melepas keluhan pendek.
"Aku tak paksa, tapi kau fikir sendiri," ujar si rakan lagi. Dia meletakkan kembali cawan bersama air Teh O yang sudah tinggal setengah di atas meja.
"Aku tak mampu, aku terlalu mahukan dia," balas Zikir perlahan.
"Aku ada Cinta yang aku cipta, sekali kau bertemu Cinta yang aku cipta ini tak mungkin kau lupakan dia," bulat mata Zikir mendengar kata-kata rakannya itu.
"Kau cipta Cinta?" tanya Zikir serius. Sangat serius. Lebih serius dari AC Mizal ketika berlakon cerita gerak khas.
Rakan Zikir mengangguk perlahan.
Zikir diam. Seketika mereka sekadar bertentang mata.
"Hm…" Rakan Zikir melepas keluhan kecil sambil mengalih matanya dari bertentang dengan Zikir. Tangan kanannya mencapai kotak rokok di atas meja, lalu ditolakkannya ke arah Zikir.
Zikir terkedu. Rakannya menghulur sekotak rokok kepadanya.
Dia bangun dari duduknya.
"Ini Cinta yang kau cipta?" getus Zikir keras. Dia berpaling lalu meninggalkan rakannya berseorang di meja.
Rakan Zikir sekadar menggeleng kepala melihat pemergian Zikir.
Hari kelapan.
Zikir merayau-rayau di bandar. Mana tahu, dia akan ketemu Cintanya di bandar. Mungkin Cinta sedang berjalan-jalan mencari keperluan.
Zikir melangkah perlahan.
Cinta.
Dimanakah kamu?
Saat ini, tika aku perlukan seorang kamu, Cinta,
Aku keseorangan, membuang diri.
Memulau diri.
Mencari kamu, Cinta.
Zikir melangkah perlahan.
Dan kunyanyikan kau lagu rindu
Kerna sesungguhnya hati ini masih lagi
Lemas dalam kerinduan…
Lirik lagu Flop Poppy sekali lagi menerobos ruang pendengaran Zikir.
Hari kesembilan.
Zikir Tidur.
Hari kesepuluh.
C.I.N.T.A
Zikir temangu. Dimanakah Cinta bersembunyi. Berhari-hari dia mencari.
Waktu dirasakan cuma sejenak. Pantas. Ringkas.
Tidak mampu dia ketemukan Cinta. Walau cerita sudah hampir kepenamatnya.
Zikir termenung di bangku batu di bawah pokok yang berdaun seperti payung. Dedaun yang dibentuk manusia.
Sesekali dia memandang ke kiri dan kanan. Mana tahu ada kelibat Cinta di sekeliling tempat itu.
Zikir hampa, yang ada cuma kelibat mat rempit mencelah kereta.
Zikir kecewa, yang ada cuma beberapa pasang pipit jantan berbulu putih hijau dan betina berbulu putih biru muda.
Zikir sekadar menggeleng kepala.
"hm…" mungkin ini keluhan yang terakhir. Cerita ini sudah sampai penamatnya.
"Abang," gemersik suara seorang wanita datang dari belakangnya.
Zikir tersenyum. Kemudian dia palingkan kepalanya ke arah suara.
"Sayang pergi mana, kenapa lambat sangat?"
"Orang ramai la papa," sahut suara kecil yang sedang berpimpin tangan dengan wanita itu. Di tangan kiri tangan si kecil tergantung plastik bercop KFC.
Zikir tersenyum.
"Ok, papa bosan la duduk sorang-sorang," Zikir bangun dari duduknya. Dia menyimpan nota kecil ditangan kanannya kedalam poket seluar.
Wanita dihadapan itu Cinta Zikir. Anak kecil berpimpin tangan dengan ibunya itu juga Cinta Zikir. Mana mungkin dia ketemu gantinya.
Zikir tersenyum sendiri.
No comments:
Post a Comment